28 August 2009

BismILLAH..dan keutamaannya..



Bismillahirrahmanirrahim..dengan bacaan basmalah dimulakan segala kerja kerana di dalamnya tersembunyi segala rahsia ilmu..

Allah memulai Kalamnya yang mulia dengan bacaan basmalah dan bacaan ini disepakati oleh ulama' sebagai ayat dari 7 ayat Surah Al-Fatihah. Ini adalah untuk memberikan panduan bagi hambaNya supaya memulai segala sesuatu dengan menyebut nama Allah yang sempurna.

Bacaan basmalah ini juga membezakan antara perkara yang menjadi ibadah atau tidak dikira ibadah di sisi Allah. Ar-Rahman yang bermaksud sifat Allah yang menunjukkan rahmatnya meluas dunia dan akhirat, bagi semua makhluk, Muslim atau bukan Muslim. Ar-Rahim pula bermaksud sifat Allah yang menyempurnakan rahmatNya bagi orang yang mendapat nikmat di akhirat kelak, iaitu Mukminin Muttaqin.

Dalam satu hadis Qudsi diceritakan bahawa Nabi Allah Musa pernah diserang sakit perut. Untuk menghilangkan rasa sakit, baginda memohon petunjuk dari Allah. Maka Allah menyuruhnya makan sejenis rumput yang tumbuh di sebuah kebun. Dengan izin Allah, sakitnya hilang setelah dilaksanakan apa yang disuruh oleh Allah itu.

Beberapa lama kemudian, baginda mengalami lagi sakit seperti sebelumnya, lalu baginda segera mencari rumput itu dan memakannya akan tetapi sakitnya tidak juga sembuh malah semakin teruk. Lalu baginda mengadu kepada Allah dengan sabdanya : " Ya Tuhanku,kali pertama aku memakannya penyakitku sembuh, tapi kali kedua penyakitku bertambah teruk."

Lalu Allah berfirman : "Pada kali pertama, engkau berubat dengan petunjukKu, sehingga engkau sembuh kerananya. Usahamu yang kedua ini adalah atas kehendakmu sendiri, tidak atas nama dan kerana Allah sehingga penyakitmu bertambah teruk. Tidakkah kamu tahu bahawa sesungguhnya apa yang ada di dunia ini racun, dan penawarnya adalah atas namaKu."

- Marja': Tafsir ayat hukum Al-Qur'an.