20 October 2009

Hambatan Waktu

بسم الله الرحمن الرحيم

Sekian lama ruang ini sepi tanpa perkongsian ilmu. Ilmu yang amat kecil saiznye dibandingkan dengan ilmu Allah yang amat meluas, tetapi amat besar timbangannya andai ia bermanfaat mengetuk pintu hati yang lalai. Hambatan waktu yang menghalang, akhirnya meranum menjadi buah bicara yang ingin saya kongsikan bersama sahabat-sahabat di sini.
Berkenaan masa, kita seringkali di perdengarkan dengan satu pepatah arab yang berbunyi
" الوقت كالسيف، إن لم تقطعه قطعك" .

Yang mana bermaksud “ Waktu itu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, maka ia akan memotong kamu.” Dan ini amatlah diakui kerana waktu yang berlalu tidak akan dapat dikembalikan lagi.

Ingin saya petik satu hadis Rasulullah yang pertama kali saya jumpa dalam “Nota Kepada Diri” karangan Tok Guru Nik Aziz, bahawa Rasulullah bersabda: “ Tidak ada suatu hari yang mendatangi keturunan Adam, kecuali hari itu memanggil: “Wahai keturunan Adam, sesungguhnya aku adalah hari yang baru. Aku dikirimkan oleh Allah SWT untuk melihat apa yang kamu kerjakan dan menjadi saksi kamu di Akhirat.”

Dan Tok Guru menjelaskan bahawa ‘terbitnya fajar pada waktu subuh bererti satu hari baru mendatangi manusia. Sebanyak jumlah hari yang dilalui sepanjang umur manusia, maka sebanyak itulah jumlah saksi yang dinamakan “hari” akan menjadi saksi bagi mereka’.

Seperti itulah kepentingan masa dan hari dalam kehidupan kita sehinggakan Allah menjadikannya sebagai saksi amal baik dan kejahatan yang kita lakukan di akhirat kelak. Akhir kata, ingin pula saya memetik kata-kata seorang naqibah, “ Isilah waktu kamu dengan kebaikan kerana waktu yang tidak diisi kebaikan akan terisi dengan kejahatan.” Wallahu A’lam.

04 October 2009

Sentiasa Ingat Allah


بسم الله الرحمن الرحيم
Sekadar berkongsi apa yang saya dapat hari ini dari Rujukan Utama Umat Islam, Al-Quran , Surah Al-Mujadalah dan Surah Al-Hasyr. Ada dua tempat yang menarik minat saya untuk highlightkan dan seterusnya berkongsi dengan sahabat-sahabat di ruangan ni. Allah berfirman dalam Surah Al-Mujadalah ayat 19, maksudnya:

“ Syaitan telah menguasai mereka, lalu menjadikan mereka lupa dari mengingati Allah; mereka itulah golongan syaitan. Dan ketahuilah bahawa golongan syaitan itulah golongan yang rugi.”

Di sini, Allah terangkan bahawa orang yang lupa dari mengingati Allah, mereka telah dikuasai syaitan dan seterusnya menjadi golongan (hizbu) syaitan. Dalam bahasa arab, hizbu diterjemaahkan sebagai jemaah yang saling menolong untuk tujuan yang sama. Sebab tu Allah kata, bila mereka menjadi hizbu syaitan, mereka adalah golongan yang rugi. Kerana balasan dari mengikut syaitan itu dah pun kita sedia maklum iaitu neraka.

Ingin saya kaitkan ayat ni dengan ayat dari surah seterusnya iaitu Surah Al-Hasyr yang seringkali dibaca sebagai surah-surah lazim kerana di dalamnya tersembunyi ayat-ayat yang boleh memelihara kita. Ayat 19 juga dari Surah Al-Hasyr yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa pada Allah, sehingga Allah menjadikan kamu lupa akan diri sendiri. Mereka itulah orang-orang fasik.”

Kedua-dua ayat ini menghina mereka yang lupa mengingati Allah. Sehingga Allah menggolongkan mereka sebagai golongan syaitan dan golongan yang fasik. Jadi, sentiasalah mengingati Allah sedaya upaya kita supaya kita menjadi hizbuLLAH yang mendapat kemenangan di dunia dan akhirat insyaAllah.

Sentiasa mengingati Allah bukanlah bermaksud sentiasa solat, tilawah dan berzikir menyebut nama Allah dan kebesarannya sahaja, setiap apa yang kita buat, niatkan dengan niat yang baik, itu juga adalah cara mengingati Allah kerana kita berbuat baik itu adalah kerana suruhan dari Allah. Seperti juga apabila kita berfikir. Ingatlah, bahawa ada satu Zat yang berada lebih dekat dengan kita, lebih dekat dari kita dan fikiran kita dan hati kita. Satu Zat yang mengawal fikiran dan memiliki hati kita. Iaitulah Zat yang menciptakan kita dan Dialah yang Maha Mendengar dan Mengetahui apa yang kita sembunyikan.

02 October 2009

Kelebihan Kita..


Kelebihan Kita..
Ummat Nabi Muhammad.
Biasanya kita selalu dengar ceramah atau tazkirah tentang amalan-amalan yang digalakkan untuk kita buat supaya pahala kita bertambah sehari demi sehari untuk melebihkan atau sekurang-kurangnya setimpal dengan dosa yang kita lakukan seharian dalam sedar atau tidak sedar.

Tapi di sini..saya ingin berkongsi tentang apa yang kita dapat tanpa berbuat apa-apa. Kita dapat secara automatik hanya kerana kita ummat kepada Rasul Allah, kekasih Allah, Muhammad Alaihis Solatu was Salam. Pahala berganda yang kita dapat tanpa perlu bersusah payah. Ibaratnya seperti kita top-up kredit rm5 tapi dapat rm50. Setiap hari, untuk sebulan penuh. Untungnya kita..=)

Pertama sekali tentang Hadis ke 37 dari susunan 40 Hadis-hadis Rasulullah oleh Imam An-Nawawi, yang berbunyi
" عن ابن عباس رضي الله عنهما عن رسول الله صلى الله عليه وسلم فيما يرويه عن ربه تبار وتعالى قال: إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك: فمن همّ بحسنة فلم يعملها كتبها الله حسنة واحدة، وإن همّ بها فعملها كتب الله عنده عشر حسنات إلى سبعمائة ضعف إلى أضعاف كثيرة، وإن همّ سيئة فلم يعملها كتبها الله عنده حسنة كاملة، وإن همّ بها فعملها كتبها الله سيئة واحدة."– رواه البخاري ومسلم
Yang bermaksud: Dari Ibn Abbas r.a dari Rasulullah S.A.W baginda bersabda menyampaikan apa yang diterimanya dari Tuhannya Allah Azza wa Jalla. Allah berfirman: “ Sesungguhnya Allah mencatat semua amal kebaikan dan keburukan.” Kemudian Dia menjelaskan: “ Maka barangsiapa yang telah berniat untuk berbuat sesuatu kebaikan tetapi tidak melakukannya, maka Allah mencatatnya satu kabaikan. Jika ia berniat untuk melakukan kebaikan lalu ia melakukannya, maka Allah mencatatnya berupa sepuluh kebaikan sampai tujuh ratus kali ganda, malah digandakan lagi kepada gandaan-gandaan yang banyak. Dan barangsiapa yang berniat untuk melakukan keburukan, namun tidak melakukannya, Allah mencatatnya sebagai satu amal kebaikan yang utuh. Dan bila ia berniat dan melalukannya, maka Allah mencatatnya sebagai satu amal keburukan sahaja.” HR Bukhari dan Muslim.

Jelas dari Hadis Qudsi di atas, bahawa kita Ummat Nabi Muhammad amat beruntung. Niat kebaikan sahaja telah diberikan pahala oleh yang Maha Pemurah sifat-Nya. Tapi bila kita berniat kejahatan, tidak diberikan dosa, bahkan kalau kita tidak jadi melakukannya, kita mendapat pahala yang utuh. Hadis ini bukan untuk menggalakkan kita berniat jahat, akan tetapi untuk memperlihatkan kepada kita keMurahan sifat Allah yang memberikan yang lebih baik dari apa yang hamba itu perlukan. Kebaikan yang kita lakukan pula bukan diberikan satu pahala sahaja tetapi digandakan kepada sepuluh kali ganda hingga tujuh ratus kali ganda, malah digandakan lagi kepada gandaan-gandaan yang kita tidak tahu nilainya sesuai dengan sifat Pemurah yang ada pada Zat Allah.

Keduanya, kelebihan kita berbanding ummat nabi lain. Pernah disampaikan kepada saya dari seorang Ustaz ketika saya menghadiri Taalim, tentang satu cerita yang menyentuh hati, sekaligus berbangga dan bersyukur ke hadrat yang maha Esa kerana mencipta saya sebagai seorang dari Ummat yang amat beruntung ini.

Ceritanya tentang bagaimana satu hari Nabi Musa yang diberi kelebihan oleh Allah untuk berbicarta dengan-Nya, bertanya pada Allah bahawa dia ada mendengar tentang satu ummat yang apabila mereka melakukan kebaikan, maka kebaikan itu digandakan oleh Allah 10 kali ganda dan ganda-ganda berikutnya. Maka Nabi Allah Musa meminta “Ya Allah, jadikanlah mereka itu ummatku.” Akan tetapi Allah berfirman bahawa mereka itu ummat Muhammad dan tiada ummat lain seperti mereka.

Ketiganya, kita dianugerahkan oleh Allah dengan anugerah Lailatul Qadr yang lebih baik dari seribu bulan. Kerana sabda Rasullullah yang bermaksud : “Umur umatku hanyalah antara tujuh puluh atau enam puluh.” Sedangkan ummat Nabu Nuh contohnya diberikan umur yang panjang sehinggakan ketika mereka berumur 80, mereka masih lagi remaja. Kerana umur ummat nabi Muhammad yang pendek, maka Allah menganugerahkan Lailatul Qadr untuk memberikan pahala yang digandakan seperti melakukannya sepanjang seribu bulan.

Keempat, kita ummat Nabi Muhammad apabila melakukan dosa lalu bertaubat dan beristighfar , maka dosa itu diampunkan oleh Allah. Tapi jika kita selak Surah Al-Baqarah tentang ummat Nabi Musa yang melakukan dosa, mereka disuruh membunuh diri mereka sendiri intuk menebus dosa mereka.

Ini antara kelebihan-kelebihan yang ada pada kita, Ummat Nabi Muhammad. Tinggal kita mahu memanfaatnya atau tidak. Allah tidak pernah memarahi hamba-Nya yang mengambil kesempatan atas sifat Pemurah-Nya. Malah Allah sentiasa menunggu orang yang berbuat dosa pada siang hari, untuk bertaubat pada-Nya di malam hari dan orang yang berbuat dosa di malam hari bertaubat pada-Nya di siang hari. Alangkah Penyayangnya sifat Allah.=)