02 October 2009

Kelebihan Kita..


Kelebihan Kita..
Ummat Nabi Muhammad.
Biasanya kita selalu dengar ceramah atau tazkirah tentang amalan-amalan yang digalakkan untuk kita buat supaya pahala kita bertambah sehari demi sehari untuk melebihkan atau sekurang-kurangnya setimpal dengan dosa yang kita lakukan seharian dalam sedar atau tidak sedar.

Tapi di sini..saya ingin berkongsi tentang apa yang kita dapat tanpa berbuat apa-apa. Kita dapat secara automatik hanya kerana kita ummat kepada Rasul Allah, kekasih Allah, Muhammad Alaihis Solatu was Salam. Pahala berganda yang kita dapat tanpa perlu bersusah payah. Ibaratnya seperti kita top-up kredit rm5 tapi dapat rm50. Setiap hari, untuk sebulan penuh. Untungnya kita..=)

Pertama sekali tentang Hadis ke 37 dari susunan 40 Hadis-hadis Rasulullah oleh Imam An-Nawawi, yang berbunyi
" عن ابن عباس رضي الله عنهما عن رسول الله صلى الله عليه وسلم فيما يرويه عن ربه تبار وتعالى قال: إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك: فمن همّ بحسنة فلم يعملها كتبها الله حسنة واحدة، وإن همّ بها فعملها كتب الله عنده عشر حسنات إلى سبعمائة ضعف إلى أضعاف كثيرة، وإن همّ سيئة فلم يعملها كتبها الله عنده حسنة كاملة، وإن همّ بها فعملها كتبها الله سيئة واحدة."– رواه البخاري ومسلم
Yang bermaksud: Dari Ibn Abbas r.a dari Rasulullah S.A.W baginda bersabda menyampaikan apa yang diterimanya dari Tuhannya Allah Azza wa Jalla. Allah berfirman: “ Sesungguhnya Allah mencatat semua amal kebaikan dan keburukan.” Kemudian Dia menjelaskan: “ Maka barangsiapa yang telah berniat untuk berbuat sesuatu kebaikan tetapi tidak melakukannya, maka Allah mencatatnya satu kabaikan. Jika ia berniat untuk melakukan kebaikan lalu ia melakukannya, maka Allah mencatatnya berupa sepuluh kebaikan sampai tujuh ratus kali ganda, malah digandakan lagi kepada gandaan-gandaan yang banyak. Dan barangsiapa yang berniat untuk melakukan keburukan, namun tidak melakukannya, Allah mencatatnya sebagai satu amal kebaikan yang utuh. Dan bila ia berniat dan melalukannya, maka Allah mencatatnya sebagai satu amal keburukan sahaja.” HR Bukhari dan Muslim.

Jelas dari Hadis Qudsi di atas, bahawa kita Ummat Nabi Muhammad amat beruntung. Niat kebaikan sahaja telah diberikan pahala oleh yang Maha Pemurah sifat-Nya. Tapi bila kita berniat kejahatan, tidak diberikan dosa, bahkan kalau kita tidak jadi melakukannya, kita mendapat pahala yang utuh. Hadis ini bukan untuk menggalakkan kita berniat jahat, akan tetapi untuk memperlihatkan kepada kita keMurahan sifat Allah yang memberikan yang lebih baik dari apa yang hamba itu perlukan. Kebaikan yang kita lakukan pula bukan diberikan satu pahala sahaja tetapi digandakan kepada sepuluh kali ganda hingga tujuh ratus kali ganda, malah digandakan lagi kepada gandaan-gandaan yang kita tidak tahu nilainya sesuai dengan sifat Pemurah yang ada pada Zat Allah.

Keduanya, kelebihan kita berbanding ummat nabi lain. Pernah disampaikan kepada saya dari seorang Ustaz ketika saya menghadiri Taalim, tentang satu cerita yang menyentuh hati, sekaligus berbangga dan bersyukur ke hadrat yang maha Esa kerana mencipta saya sebagai seorang dari Ummat yang amat beruntung ini.

Ceritanya tentang bagaimana satu hari Nabi Musa yang diberi kelebihan oleh Allah untuk berbicarta dengan-Nya, bertanya pada Allah bahawa dia ada mendengar tentang satu ummat yang apabila mereka melakukan kebaikan, maka kebaikan itu digandakan oleh Allah 10 kali ganda dan ganda-ganda berikutnya. Maka Nabi Allah Musa meminta “Ya Allah, jadikanlah mereka itu ummatku.” Akan tetapi Allah berfirman bahawa mereka itu ummat Muhammad dan tiada ummat lain seperti mereka.

Ketiganya, kita dianugerahkan oleh Allah dengan anugerah Lailatul Qadr yang lebih baik dari seribu bulan. Kerana sabda Rasullullah yang bermaksud : “Umur umatku hanyalah antara tujuh puluh atau enam puluh.” Sedangkan ummat Nabu Nuh contohnya diberikan umur yang panjang sehinggakan ketika mereka berumur 80, mereka masih lagi remaja. Kerana umur ummat nabi Muhammad yang pendek, maka Allah menganugerahkan Lailatul Qadr untuk memberikan pahala yang digandakan seperti melakukannya sepanjang seribu bulan.

Keempat, kita ummat Nabi Muhammad apabila melakukan dosa lalu bertaubat dan beristighfar , maka dosa itu diampunkan oleh Allah. Tapi jika kita selak Surah Al-Baqarah tentang ummat Nabi Musa yang melakukan dosa, mereka disuruh membunuh diri mereka sendiri intuk menebus dosa mereka.

Ini antara kelebihan-kelebihan yang ada pada kita, Ummat Nabi Muhammad. Tinggal kita mahu memanfaatnya atau tidak. Allah tidak pernah memarahi hamba-Nya yang mengambil kesempatan atas sifat Pemurah-Nya. Malah Allah sentiasa menunggu orang yang berbuat dosa pada siang hari, untuk bertaubat pada-Nya di malam hari dan orang yang berbuat dosa di malam hari bertaubat pada-Nya di siang hari. Alangkah Penyayangnya sifat Allah.=)

No comments:

Post a Comment