20 October 2009

Hambatan Waktu

بسم الله الرحمن الرحيم

Sekian lama ruang ini sepi tanpa perkongsian ilmu. Ilmu yang amat kecil saiznye dibandingkan dengan ilmu Allah yang amat meluas, tetapi amat besar timbangannya andai ia bermanfaat mengetuk pintu hati yang lalai. Hambatan waktu yang menghalang, akhirnya meranum menjadi buah bicara yang ingin saya kongsikan bersama sahabat-sahabat di sini.
Berkenaan masa, kita seringkali di perdengarkan dengan satu pepatah arab yang berbunyi
" الوقت كالسيف، إن لم تقطعه قطعك" .

Yang mana bermaksud “ Waktu itu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, maka ia akan memotong kamu.” Dan ini amatlah diakui kerana waktu yang berlalu tidak akan dapat dikembalikan lagi.

Ingin saya petik satu hadis Rasulullah yang pertama kali saya jumpa dalam “Nota Kepada Diri” karangan Tok Guru Nik Aziz, bahawa Rasulullah bersabda: “ Tidak ada suatu hari yang mendatangi keturunan Adam, kecuali hari itu memanggil: “Wahai keturunan Adam, sesungguhnya aku adalah hari yang baru. Aku dikirimkan oleh Allah SWT untuk melihat apa yang kamu kerjakan dan menjadi saksi kamu di Akhirat.”

Dan Tok Guru menjelaskan bahawa ‘terbitnya fajar pada waktu subuh bererti satu hari baru mendatangi manusia. Sebanyak jumlah hari yang dilalui sepanjang umur manusia, maka sebanyak itulah jumlah saksi yang dinamakan “hari” akan menjadi saksi bagi mereka’.

Seperti itulah kepentingan masa dan hari dalam kehidupan kita sehinggakan Allah menjadikannya sebagai saksi amal baik dan kejahatan yang kita lakukan di akhirat kelak. Akhir kata, ingin pula saya memetik kata-kata seorang naqibah, “ Isilah waktu kamu dengan kebaikan kerana waktu yang tidak diisi kebaikan akan terisi dengan kejahatan.” Wallahu A’lam.

No comments:

Post a Comment