26 February 2010

Ayat-ayat Allah




Sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia tanpa sebab dan hikmah, akal manusia yang terbatas sahaja yang tidak mampu memikirkan apa kebaikan di sebaliknya. Teringat pelajaran di zaman persekolahan lama dahulu, bahawa bukti kewujudan Allah itu adalah kewujudan alam semesta ini sendiri. Jadi, ingin sekali dikongsikan di ruang yang sempit ini, tentang ayat-ayat Allah yang boleh kita tadabbur dan tafakkur.


Ayat-ayat Allah itu dua bentuk, pertama Ayat Qauliyyah yang kita tadabbur di dalam kitab suci Al-Qur’an yang juga disebut kalamuLLAH, dan kedua adalah Ayat Kauniyyah yang kita tafakkur di sekeliling kita melalui mata hati. Ayat-ayat Qauliyyah yang ada di tangan kita, umpama pelita menerangi perjalanan singkat kita di dunia, Al-Qur’an itu diturunkan dan disampaikan kepada kita supaya kita tidak sesat.

Sepertimana yang telah disabdakan oleh junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w:
“Aku tinggalkan pada kamu dua perkara, jika kamu berpegang teguh dengannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya, Kitab Allah dan sunnahku.”


Dalam Al-Qur’an itu sendiri terkandung beribu macam nasihat yang amat berguna dari Pencipta kita, yang amat mengenali hati-hati kita. Kerana itu, amat penting bagi kita memahami ayat-ayat Al-Qur’an yang dibaca, bukan sekadar membaca, tetapi mentadabbur ayat-ayatnya. Seperti kata seorang ulama, “ Jika kamu mahu bercakap dengan Allah, berdoalah. Jika kamu mahu Allah bercakap denganmu, bacalah al-Qur’an.”
Ayat-ayat Kauniyyah pula boleh kita tadabbur melalui mata hati kita. Allah berfirman dalam Surah Ali Imran: 190 :

﴿ إن في خلق السموت والأرض واختلف الليل والنهار لأيت لأولى الألبب ﴾

“ Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.”
Insan yang mempunyai akal dan mempunyai hati yang dekat dengan Allah, pasti banyak memikirkan Ayat-ayat Allah yang ada diseselilingnya. Pasti timbul rasa kekaguman akan kebesaran Allah menongkat langit, menegakkan pokok bunga yang lembut batangnya, menjadikan bunga berlainan warnanya, hatta keajaiban ciptaan diri kita sendiri yang di sebut Allah sebagai “Ahsanu Taqwin”. Semua itu pasti ada nilainya disisi Allah, dan memikirkan tentang kebesaran Allah itu pasti ada ganjarannya buat insan yang mahu berfikir.

No comments:

Post a Comment