07 March 2010

Kenapa Kita Di Sini?


Sejenak terfikir, alangkah beruntungnya kita, dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga Islam, mewarisi Islam dari ibu bapa walaupun tidak dapat mewarisi iman mereka. Pernah saya tonton sebuah rancangan motivasi dalam tv yang panelnya seorang berbangsa india, dan seorang lagi berbangsa cina, namun bukan bahasa yang mahu diketengahkan di sini, tetapi agamanya. Rancangan motivasi itu tentang mission in our life.

Kedua panel menjawab soalan dari moderator dengan point-point mereka tersendiri, namun ia tidak kelihatan kukuh kerana berdasarkan pengalaman persendirian. Salah seorang panel berkata “Kita perlu menetapkan misi yang kita ingin capai, barulah matlamat hidup kita jelas.” Tapi bila ditanya apakah misi itu? Maka jawapan yang diberikannya adalah bergantung pada individu dan tahap kemampuannya. Jawapannya membuat saya ingin ketawa. =) Kita ambil satu contoh, jika kita letakkan satu misi dalam hidup, iaitu untuk menjadi seorang doktor misalnya, kita berusaha sedaya upaya kita untuk menjadi doktor, dan akhirnya kita berjaya. Adakah matlamat hidup kita berhenti di situ saja? Setelah misi itu kita capai, apa lagi yang tinggal untuk kita? Bagaimana pula jika kita tidak berjaya menjadi seorang doktor? Adakah hidup kita berakhir di situ?..

Soalan yang hanya ada jawapannya pada Islam sahaja. Islam menyatakan dengan jelas mengapa kita di sini, di dunia yang kita tahu ( itu pun melalui wahyu ) bahawa ianya hanya sementara, persinggahan semata-mata. Kita hidup di dunia ini bermatlamatkan dua perkara yang telah digariskan Allah.

Pertama sebagai Khalifah di muka bumi ini. Sepertimana Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah
" إني جاعل في الأرض خليفة "
Khalifah yang bererti wakil, yang mempunyai amanah untuk mentadbir bumi ini mengikut yang digariskan oleh Allah dalam Al-Qur’an dan Sunnah. Kita lihat bahawa seluruh makhluk tunduk patuh pada kita, kecuali Iblis laknatullah yang sentiasa memusuhi kita. Allah berfirman dalam Surah Luqman ayat 20:
" ألم تر أن الله سخرلكم ما في السموات وما في الأرض وأسبغ عليكم نعمه ظاهرة وباطنة.. "

Yang bermaksud: “ Tidakkah kamu memerhatikan bahwa Allah telah menundukkan apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi untuk ( kepentingan) mu dan menyempurnakan nikmat-Nya untukmu zahir dan batin.”

Segala puji bagi Allah yang menundukkan semuanya untuk kepentingan kita, haiwan menjadi makanan dan tunggangan kita, malaikat mencatat dan mendoakan kita di samping tugas mereka bertasbih pada Allah, tumbuhan dan ikan-ikan di laut sebagai makanan kita. Segala-galanya Allah tundukkan untuk manusia, tidak kira Islamkah dia atau pun kafir. Tapi seorang muslim beruntung kerana dia didoakan oleh sekian makhluk selagi mana dia taat kepada perintah Tuhannya.

Kedua, kita dihantar ke bumi ini untuk beribadah kepada Allah. Ini dapat kita ambil dari ayat Qauliyyah:
" وما خلقت الجن والإنس إلا ليعبدون "
“ Tidak Aku jadikan jin dan manusia selain untuk beribadah kepadaKu.”
Sepertimana makhluk-makhluk lain tunduk dan taat pada Allah, seharusnya kita, Ahsanu Taqwim yang Allah anugerahkan dengan kelebihan akal fikiran ini seharusnya taat kepada perintah Allah dan menjauhi laranganNya, hidup mengikut yang digariskan Islam dan tidak melangkau garis panduan yang ditetapkan.

Jika kita faham dua konsep ini, maka hidup kita pasti lebih bererti dan matlamat hidup kita pasti jelas. Bila ditanya “Mengapa kita di sini?” dengan yakin kita akan jawab “ Semata-mata kerana Allah.”

1 comment:

  1. salam.. entri yang memberi semangat. mcm kenal je penulisnya.hehe

    ReplyDelete