04 November 2010

Dipaksa Berzina..Na’uzubiLLAH…



Perzinaan adalah salah satu hudud Allah, iaitu dosa besar yang disebut hukumannya dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Hukuman bagi penzina seperti mana yang telah kita ketahui, melalui Surah An-Nur, ialah seratus sebatan bagi yang belum berkahwin, lelaki dan perempuan.
﴿الزاني والزانية فاجلدوا كل واحد منهما مائة جلدة﴾

Ulama’ sepakat bahawa seseorang itu wajib membela kehormatan dirinya sendiri dan juga kehormatan orang lain untuk menegakkan Amar Maaruf, Nahi Mungkar. Kerana perbuatan zina meliputi hak Allah, iaitu dengan mengelakkan zina berleluasa di muka bumi, dan juga meliputi hak manusia iaitu dengan menyelamatkannya dari penzinaan.

Penzina yang dipaksa tidak dijatuhkan hukuman seratus sebatan. Ulama’ memisahkan hukum ke atas lelaki yang dipaksa berzina, dengan hukum perempuan yang dipaksa berzina. Ijma’ ulama’ berpendapat bahawa perempuan yang dipaksa berzina sama ada secara paksaan dengan perbuatan kasar, atau hanya dengan ancaman, tidak dijatuhi hukuman sebat.

Manakala lelaki yang dipaksa berzina, ada dua pandangan ulama’:

Pertama: pendapat yang tidak rajih. Pada pandangan Imam Malik, Abu Hanifah, dan Ahmad, Syiah dan Zaidiah: bahawa lelaki yang dipaksa untuk perzinaan dijatuhi hukum hudud, iaitu seratus sebatan. Ini kerana perempuan dipaksa kerana kelemahannya, sedangkan lelaki tidak dikira dipaksa selagi dia merasa bersyahwat dengan apa yang dilakukan. Akan tetapi sekiranya lelaki itu tidak merasa bersyahwat, maka tidak dijatuhi hukum hudud.

Kedua: Pendapat yang mu’tabar atau rajih dan terkuat dalam semua mazhab. Iaitu lelaki yang dipaksa berzina, tidak dijatuhi hukum hudud. Kerana paksaan, sama ada ke atas lelaki atau perempuan tetap adalah paksaan. Juga kerana rasa bersyahwat itu adalah perasaan yang akan dirasai secara normal sekalipun dengan paksaan.

Jadi, dapat disimpulkan bahawa lelaki, mahupun perempuan yang dipaksa berzina, tidak dijatuhi hukum hudud. Ini bersesuaian dengan Hadis Rasulullah:
(( عفى لأمتي عن الخطأ والنسيان وما استكرهوا عليه )).

Perlu diingatkan di sini, penzina yang dipaksa, tidak dijatuhi hukum hudud tidaklah bermaksud paksaan itu menjadikan zina dibolehkan. Dengan kata lain, Paksaan tidak menghalalkan Penzinaan. Ulama bersepakat mengatakan bahawa paksaan tidak menghalalkan penzinaan kerana penzinaan itu lebih buruk dari bersabar atas kematian. Kerana mati dengan sebab mempertahankan maruah dikira mati SYAHID. Sama ada yang dipaksa itu lelaki atau perempuan, kerana jika yang dipaksa itu lelaki, dan dia melakukan zina kerana dipaksa, maka setelah lepas dari ancaman bunuh, hidupnya tidak akan tenteram dan besar kemungkinan musuh yang memaksa itu boleh kembali untuk meneruskan niat untuk membunuhnya.

Banyak ulama’ berpendapat bahawa lelaki yang dipaksa oleh orang lain untuk melakukan penzinaan dengan seorang wanita, atau lebih dikenali dengan rogol atau perkosa, tidak dibolehkan baginya melakukan zina hanya kerana mempertahankan hidupnya. Kerana ini berkait dengan kehormatan dan hidup orang lain, iaitu perempuan tersebut.

Pada pandangan saya, larangan ini kerana para wanita yang telah diragut kesuciannya (Na’uzubillah min zalik) oleh seorang lelaki, menganggap ini merupakan bencana besar yang tidak akan berakhir dalam masa yang singkat, kerana penzinaan berkait rapat dengan kehormatannya, kehormatan orang tuanya dan kaum kerabatnya. Dia tidak dapat bersemuka dengan masyarakat sekitarnya, dan mungkin menganggap musibah itu sebagai penghujung hidupnya. Besar kemungkinan perempuan itu akan membunuh diri kerana musibah tersebut, maka perzinaan secara paksaan itu melibatkan kehormatan dan satu nyawa, akan tetapi jika perempuan itu hamil dengan sebab perbuatan tersebut, maka penzinaan yang dilakukan lelaki itu melibatkan kehormatan, dan dua nyawa. Kerana itulah, zina, walaupun secara terpaksa, tidak dibolehkan syara’, apa lagi yang tidak dipaksa.

Sama-sama berganding bahu dalam mewujudkan masyarakat sifar zina.. Allah yubariku fikum!!.

No comments:

Post a Comment