02 November 2011

PTPTN dan KITA..


Ramai antara kita yang mengeluh apabila isu PTPTN dibangkitkan. Ada yang mengatakan kononnya PTPTN bukan sekadar PTPTN tetapi PTPTipu..

Teringat tahun pertama ijazah dulu, saya bermati-matian tidak mahu memohon pinjaman PTPTN, mahu usahakan cara lain untuk meneruskan pengajian, atas alasan PTPTN berunsur riba..

Saya mohon pinjaman yayasan negeri, dan Alhamdulillah diluluskan walaupun mengambil masa lebih satu sem membebankan ayah bonda tercinta..

Di sem pertama inilah saya meminta zakat di zakat endowment fund UIA, dan pegawai menemuduga bertanya alasan kenapa saya tidak meminta PTPTN, saya tidak terus menjawab kerana riba, tetapi mungkin dari air muka ini jelas tertulis, jadi pegawai itu terus menempelak saya. Katanya “Belajar tak habis lagi, tapi pandai buat hukum sendiri.”

Kata-kata itu kembali berlegar di ruang fikiran saya bila tiba saat mencari pinjaman untuk sarjana. Atas alasan tidak mahu terikat dengan mana-mana institusi dan tidak lagi mahu menambah beban ayah bonda, saya nekad memohon pinjaman. Jadi, dengan berbekalkan pointer yang cukup-cukup makan, pilihan yang ada hanya pinjaman MARA, atau tidak dapat tidak, PTPTN. Mungkin sudah takdirnya saya memohon PTPTN juga, hari saya menelefon MARA, adalah satu hari selepas tarikh tamat tempoh permohonan pinjaman pendidikan MARA.

Lalu bermulalah peperangan jiwa, sebahagian membenarkan memohon pinjaman PTPTN, dan sebahagian lagi tetap tidak betah dengan perkataan riba. Ayat dan hadis mengenai buruknya balasan pemberi dan penerima riba terus berlegar-legar di ruang fikiran.

Tapi selepas berminggu-minggu bermuzakarah dan muhasabah, saya mula memandang PTPTN dari sudut yang berbeza. Sesungguhnya ALLAH mampu membolak-balikkan hati, bila masa saja DIA mahu. Saya mula terfikir, PTPTN sekarang menawarkan Ujrah dan saya belajar tentang Ujrah dan Ujrah itu benar ada dalam Fiqh Uqud Maliyyah.

Di mana ribanya? 1% x tempoh bayaran balik pinjaman, itu Ujrahnya. Dalam erti kata lain, upah atau gaji yang kita sendiri persetujui dan kita sendiri tandatangani ketika mengisi perjanjian. Cuma cara pengiraan mungkin tidak kena, Ujrah sepatutnya bukan berbentuk peratusan.

Atau mungkin ribanya kerana peningkatan bunganya bila lambat bayar. Tapi perkara ini jelas dalam hadis “Orang kaya yang menahan hartanya dari membayar hutang adalah zalim”. Kaya di sini bukan bererti kaya yang sebenar, tapi mampu membayar, tetapi enggan. Dan bunga meningkat kerana kita tidak mengembalikan apa yang kita pinjam ( hutang sebenarnya).

Kita isi perjanjian, kita tandatangani, bukan dengan mata yang separuh celik, tapi dengan penuh pengharapan yang pegawai PTPTN akan menerima permohonan kita. Sanggup ponteng kelas, sanggup tak keluar makan, bahkan ada yang sanggup membuat hukum boleh menjama’kan zohor dan asar, walaupun tidak musafir. Inna LILLAH..

Ketika itu, tidak terfikirkah tentang riba? Tak terfikirkah tentang banyaknya bunga yang mesti kita bayar? Atau memang sudah awal-awal merancang tidak mahu membayar? Jangan… Roh orang yang berhutang tidak diterima langit, dan tidak juga bumi terima.

Saya ingin mengajak semua untuk berfikir, siapa sebenarnya yang bersalah? PTPTN yang terus menaikkan bunga tanpa memikirkan duduk kewangan kita? Atau kita yang tidak berusaha membayar pinjaman kita dalam tempoh masa yang ditetapkan, sehingga bunganya berganda-ganda dan kita mengambil jalan mudah, langsung tidak mahu membayar, kerana PTPTN berunsur riba.

Fikirlah..siapa sebenarnya yang menyumbang kepada peningkatan bunga PTPTN itu, bunga yang kita sendiri belum jelas namanya..
Mungkin kita fikir PTPTN zalim kerana mengambil untung dari pinjaman, tetapi siapa yang lebih zalim dari KITA yang tidak mahu atau mengambil mudah dalam mengembalikan barang yang dipinjam..

No comments:

Post a Comment